top of page
Search
Writer's pictureAspirasi SJB

Asal Usul Negeri Sarawak

Sarawak merupakan salah sebuah negeri yang terbesar di Malaysia. Sarawak terletak di Pulau Borneo yang juga merupakan pulau yang ketiga terbesar di dunia. Sarawak juga dianggap sebagai salah satu negeri yang tertua di Asia Tenggara kerana adanya bukti penemuan di Gua Niah seperti tengkorak, bekas perkuburan dan kapak. Asal usul nama “Sarawak” ini sebenarnya masih lagi menjadi ketidakpastian kepada masyarakat. Ada yang mengatakan bahawa nama “Sarawak” berasal daripada nama “Sungai Sarawak” atau “Batang Sarawak”. Ada juga mengatakan bahawa “Sarawak” mendapat nama selepas daripada peristiwa Sarawak diserahkan kepada James Brooke oleh Pengeran Muda Hashim pada tahun 1841. Rentetan daripada peristiwa itulah masyarakat menyatakan bahawa nama “Sarawak” berasal daripada perkataan “serah pada awak”.


Sarawak tidak ketinggalan untuk bergiat secara aktif dalam perdagangan hingga kurun ke-13 apabila mula menerima kunjungan daripada para pedagang luar dari Arab, India, China dan kawasan-kawasan yang berdekatan. Para pedagang ini telah membawa masuk barangan seperti tembikar, sutera dan lain-lain ke Sarawak. Di Sarawak, mereka mengharapkan hasil hutan seperti sumbu badak, sarang burung dan lain-lain untuk dijadikan sebagai barang dagangan. Disebabkan oleh faktor perdagangan yang aktif, dari sinilah agama Islam dikatakan telah dibawa masuk ke Sarawak. Oleh itu, kuasa pemerintahan telah berpindah dibawah pemerintahan Brunei dimana pada masa itu “Sarawak” hanyalah wujud sebagai sebuah sungai.


Malah, sebelum adanya nama Sarawak, bandar Kuching juga tidak ketinggalan dianggap sebagai Sarawak oleh penduduk tempatan dahulu. Perkara ini dibuktikan melalui sebuah catatan pada tahun 1849 iaitu catatan mengenai ekspedisi ke Borneo yang telah ditulis oleh Henry Keppel. Henry Keppel merupakan nakhoda kapal HMS Didi yang berjaya menewaskan serangan perlanunan di perairan Borneo. Beliau percaya bahawa tempat yang beliau singgah setelah menewaskan serangan lanun ialah Kuching. Namun begitu, nama Kuching jarang digunakan sehinggalah Kuching disebut sebagai Bandar Kuching dan akhirnya dikenali sebagai “Sarawak Proper” atau “Sarawak”. Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (Supreme Council) yang diadakan di Kuching pada tahun 1872, Charles Brooke telah membawa nama Kuching sebagai cadangan untuk menjadi rujukan kepada “bandarnya” dan “Sarawak” pula dinamakan sebagai kawasannya. Oleh itu, penggunaan nama-nama tersebut telah dirasmikan pada 12 Ogos 1872.


Ketika empayar Majapahit di Jawa mengalami kejatuhan pada abad ke-15, Sarawak telah menjadi wilayah dibawah kekuasaan Sultan Brunei. Borneo juga pernah menjadi rebutan kuasa-kuasa barat seperti Portugis, Belanda, Sepanyol dan juga Inggeris. Brunei dapat mempertahankan kemerdekaannya apabila menerima serangan daripada Sepanyol. Namun begitu, kawasan perdagangan Brunei tidak dapat mengelak daripada menerima kesan buruk apabila orang Eropah berusaha untuk membolot perdagangan di kawasan tersebut. Cukai tinggi dalam negeri yang dikenakan telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan akhirnya mewujudkan banyak penentangan.


Tindakan Sultan Sulu yang telah bekerjasama menghapuskan pemberontakan telahdiberi ganjaran iaitu wilayah di timur Kimanis (sekarang sebahagian daripada negeri Sabah) sebagai konsesi oleh Sultan Brunei. Penyerahan tersebut berlarutan sehingga kawasan-kawasan yang lain turut diserahkan kepada pihak yang layak. Penyerahan ini telah menandakan kejatuhan Kesultanan Brunei yang akhirnya terpaksa menanggung risiko dimana penyerahan wilayah-wilayah tersebut telah mengecilkan Brunei itu sendiri.

Rujukan :

1) Buyong Adil, Haji. Sejarah Sarawak, 1981.

2) Hanum, Zakiah. Asal Usul Negeri-Negeri Di Malaysia, 1989.

3) Hoebel, Robert. Sarawak, 1986.


0 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page